Friday, 28 February 2014

Notis Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Sekolah Kebangsaan Asyakirin Kali Ke 6 Tahun 2014


Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-6 akan diadakan seperti ketetapan berikut : 

Tarikh / Hari    :          15 Mac 2014 (Sabtu) 
Masa                   :          8.15 pagi – 11.00 pagi 
Tempat              :          Ruang Legar SK Asyakirin 

Agenda Mesyuarat
Ucapan Aluan YDP PIBG 
Ucapan Penasihat PIBG
Membentang dan Mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 5 Tahun 2013 
Memaklumkan dan  Mengesahkan Laporan Aktiviti Tahunan PIBG Tahun 2013 
Memaklumkan dan Mengesahkan Laporan Kewangan PIBG Tahun 2013 
Membentang dan Membahas Usul 
Ucapan Penangguhan YDP PIBG 

Bersama-sama ini disertakan lampiran jawapan kehadiran mesyuarat dan borang penyataan usul. Untuk makluman, tuan/puan boleh merujuk di laman blog pibgskasyakirin.blogspot.com untuk meneliti Minit Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 5 dan usul-usul yang telah dibahaskan. 

Untuk membolehkan PIBG membuat persiapan makanan & minuman ringan dan mengelak pembaziran, tuan/puan diminta memberi jawapan kehadiran serta penyataan usul (jika ada) kepada guru kelas anak tuan/puan sebelum atau pada 03 Mac 2014 (Isnin). 

Keprihatinan dan kehadiran tuan-puan untuk sama-sama menjayakan mesyuarat ini amat kami hargai dan kami dahului dengan ucapan terima kasih. 

Sekian.

“KEPRIHATINAN IBU/BAPA DAN GURU MENJAMIN KECEMERLANGAN ANAK-ANAK” 

(JOHAN BIN ISMAIL)
Yang Dipertua PIBG

Sekolah Kebangsaan Asyakirin, Bintulu

Muat Turun

Wednesday, 26 February 2014

Program Sekolah Penyayang SK Asyakirin


Umum kelihatan mulai tahun 2014, ramai guru dan pengawas bertugas di kawasan laluan berbumbung di SK Asyakirin. Kehadiran guru dan pentadbir sekolah di kawasan ini setiap hari adalah inisiatif Program Sekolah Penyayang. Program ini melibatkan semua guru sekolah yang telah diberi tugas untuk menerima kedatangan murid dan menjaga keselamatan mereka di dalam kawasan sekolah di waktu pagi dan waktu balik sekolah.  Sebenarnya guru bertugas di semua kawasan sekolah (di setiap aras bangunan) dan bukan sahaja di laluan berbumbung.

Ibu bapa disaran supaya mengambil peluang ini untuk berjumpa dengan para pentadbir sekolah sekiranya ingin berbincang atau bertanya kepada mereka. PIBG juga turut menyertai program ini ketika mempunyai kesesuaian masa. PIBG mewakili ibu bapa ingin mengucapkan syabas atas usaha murni ini terutama kepada guru besar yang menjadikan program ini suatu kenyataan. 

Tuesday, 25 February 2014

Projek Memasang Lampu di Laluan Berbumbung SK Asyakirin

PIBG SK Asyakirin menerima banyak aduan daripada ibu bapa terutamanya keadaan gelap sebab ketiadaan lampu di laluan berbumbung. Masalah sering timbul kepada murid yang datang awal ke sekolah sekitar jam 5.30 pagi. Pada waktu ini, langit masih gelap dan ramai pelajar tidak berani untuk berjalan ke bangunan sekolah melalui laluan berbumbung dan mula berkumpul di ruang menunggu sekolah.

Demi untuk memberi keselesaan dan untuk meningkatkan keselamatan murid secara keseluruhan, PIBG telah menjalankan projek memasang lampu di laluan berbumbung. Sebanyak 10 batang lampu kalimantan telah dipasang dan dibekalkan dengan dua suis kawalan di sepanjang laluan berbumbung. Projek ini telah siap sepenuhnya dan menelan belanja RM2,500.00. Sebahagian daripada dana projek ini adalah disumbangkan oleh YB Dato Seri Tiong King Sing. Terima kasih atas sumbangan YB Ahli Parlimen.


PIBG berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan oleh semua murid, guru dan ibu bapa SK Asyakirin. PIBG memohon agar kita sama-sama menjaga kemudahan daripada sebarang tindakan vandalisma.

Monday, 24 February 2014

Laluan Berbumbung SK Asyakirin

Mulai tahun 2014, SK Asyakirin menggunakan sepenuhnya laluan berbumbung sebagai laluan utama ketika memasuki sekolah dan keluar dari sekolah.  Inisiatif ini ingin membudayakan amalan yang sistematik semasa waktu datang dan pulang murid di samping meningkatkan keselamatan murid dari melintas jalan dalam kawasan sekolah. Di samping itu juga, ibu bapa dibenarkan untuk menunggu murid di laluan ini namun tidak dibenarkan memasuki kawasan bangunan utama sekolah.

Namun begitu, masih ada ibu bapa yang mengiringi murid mengambil jalan pintas melintas kawasan jalan untuk memasuki kawasan bangunan sekolah. Perkara ini bukan sahaja menjadi satu teladan yang tidak baik kepada anak namun ia akan menimbulkan bahaya kepada anak sendiri apabila anak mereka melintas jalan sendiri apabila ibu bapa tidak ada bersama mereka.


Sebelum ini pihak sekolah ada memasang pelekat keselamatan untuk menghalang ibu bapa dari memintas laluan berbumbung. Namun, ia tidak kekal lama kerana mudah rosak. Oleh kerana kos untuk membina penghadang yang kukuh dan kekal, PIBG telah membantu sekolah memasang tali yang lebih kukuh sebagai penghadang di sepanjang tepi laluan berbumbung buat masa ini.

Kerja memasang tali penghadang oleh ibu bapa
Dengan adanya tali ini, adalah diharapkan agar semua murid dan ibu bapa dapat lalu di kawasan berbumbung hingga ke kelas tanpa memintas jalan demi keselamatan semua pihak. Ia juga mendidik murid untuk lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan.

Sunday, 23 February 2014

Pemasangan Papan Notis Di Ruang Menunggu

Sejak dari awal perlantikan PIBG sesi 2013/2015, kami menghadapi satu masalah dalam penghantaran maklumat kepada ibu bapa. Ini disebabkan oleh tiada tempat yang sesuai untuk ahli-ahli PIBG menampal apa-apa pengumuman berkaitan aktiviti PIBG atau aktiviti sekolah. Edaran tidak dapat ditampal di kawasan hadapan koperasi sekolah kerana ibu bapa tidak dibenarkan untuk masuk hingga ke kawasan tersebut.

Medium yang digunakan oleh sekolah dan PIBG sebelum ini adalah surat yang diberikan kepada anak-anak untuk disampaikan kepada ibu bapa.  Namun aduan berkenaan anak tidak menyampaikan surat tersebut seringkali didengari. Ini memberi kesan kepada keberkesanan aktiviti PIBG dan aktiviti sekolah.

PIBG mengambil inisiatif untuk menyampaikan maklumat dengan lebih efisien. Maka, ahli PIBG telah bersepakat untuk memasang papan notis di tempat menunggu ibu bapa. Langkah ini dilihat sebagai satu langkah yang berkesan memandangkan hampir semua ibu bapa melalui kawasan tersebut. Dengan itu, maklumat dapat disampaikan dengan lebih baik.







Printfriendly