Saturday 28 September 2013

Pemilihan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) SK Asyakirin Tahun 2014


Satu mesyuarat telah diadakan pada untuk memilih pelajar yang layak menerima Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Tahun 2014. Lebih kurang 200 borang permohonan telah disemak oleh ahli mesyuarat yang dipengerusikan oleh Cikgu Aminah binti Sisi (PK HEM) turut dihadiri oleh 4 ahli jawatankuasa PIBG iaitu En. Johan bin Ismail (Yang DiPertua), En. Shahran bin Napi (Naib Yang Dipertua), Cikgu Nurhafizah binti Uteh (Setiausaha Kehormat) dan Cikgu Siti Marliyana binti Latip (Naib Setiausaha Kehormat).  Ahli mesyuarat yang lain adalah Cikgu Ramiah (PK PPKI), Cikgu Rismiyati, Cikgu Syarifah Suhaila, Cikgu Rajmah dan Cikgu Norhayati.  

Untuk memastikan kejayaan permohonan, ibu bapa yang layak dipohon mengisi borang permohonan dengan lengkap dan betul disertakan dengan dokumen-dokumen yang sahkan.  Kegagalan ibu bapa yang layak memenuhi syarat permohonan boleh menyebabkan permohonan ditolak.  Satu lagi mesyuarat akan diadakan pada awal tahun 2014 untuk murid tahun 1. 

Latar Belakang KWAPM 

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada tahun 2003 di bawah seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957. Objektif utama penubuhannya adalah untuk membantu golongan ibu bapa murid yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah dengan harapan berupaya mengurangkan jurang peluang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Adalah menjadi hasrat KPM untuk membasmi murid yang tercicir daripada persekolahan akibat kemiskinan di samping memberikan golongan ini akses pendidikan yang sama rata dalam menjana kecemerlangan negara.

Penubuhan tabung ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuatkuasa mulai Januari tahun 2003 di bawah Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (akta 550) yang mana mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka bersekolah mulai umur tujuh tahun (pendidikan rendah).

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai KWAPM, klik SINI.

Wednesday 25 September 2013

Taklimat Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah SK Asyakirin 2013

Satu taklimat berkenaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah telah di adakan ada 21 September 2013 bertempat di ruang legar SK Asyakirin. Seramai lebih kurang 150 ibu bapa yang majoriti merupakan kaum ibu telah menghadiri taklimat tersebut. Taklimat bermula dengan kata-kata aluan daripada En. Senusi bin Hj Shahrani iaitu Guru Besar SK Asyakirin.



Taklimat ini diberikan oleh PU Sarana Sarawak iaitu Encik Rafaie bin Ismail.  Sarana Ibu Bapa merupakan suatu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak di dalam dan di luar sekolah demi kecemerlangan masa hadapan negara yang tercinta.  Maklumat lanjut boleh dimuat turun dari Blog Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia. 


Tuesday 24 September 2013

Permohonan Murid Tahun 6 ke Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2014


Permohonan Ke Sekolah Kawalan, Sekolah Berasrama Penuh kini dibuka pada 1 September 2013 sehingga 15 Oktober 2013. Ibu Bapa dipohon supaya mengisi permohonan secara atas talian, mencetak dan menghantar permohonan kepada pihak sekolah untuk pengesahan dan tindakan selanjutnya. Mohon agar semak semula surat edaran pihak sekolah mengenai perkara tersebut untuk tindakan seterusnya.

Klik SINI untuk melayari laman web Permohonan Ke Sekolah Kawalan, Sekolah Berasrama Penuh Kementerian Pendidikan Malaysia. Selamat Berjaya.

Monday 23 September 2013

Program Semarak Perpaduan RIMUP Kelompok Daerah Bintulu SK Asyakirin 2013


RIMUP merupakan kata singkatan bagi RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN merupakan satu agenda Kementerian Pendidikan Malaysia bagi membentuk kerjasama dan permuafakatan menerusi perlaksanaan pelbagai program dan aktiviti yang matlamat utamanya ialah memupuk perpaduan dalam kalangan murid serta masyarakat pelbagai kaum.

Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada 3 buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Asyakirin, Sekolah Jenis Kebangsaan Siong Boon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Bintulu 2 berkampung di sekolah ini melalui satu rancangan RIMUP Kelompok yang dikenali sebagai Program Semarak Perpaduan 2013. 

Program ini yang melibatkan peserta daripada bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Melanau dan suku kaum Sarawak sudah pasti dapat mencapai objektif penganjuran program dan sekali gus menggalakkan aktiviti secara integrasi di peringkat RIMUP kelompok ini.


Tujuan Program Semarak Perpaduan ini diadakan adalah untuk mewujudkan sikap kerjasama dan toleransi serta suasana muhibbah di antara murid dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini khususnya di daerah Bintulu ini. Di samping itu, program ini juga bertujuan menggalakkan penyertaan semua pihak yang terdiri daripada murid, guru, PIBG, dan masyarakat setempat dalam mewujudkan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk dan menjadikan sekolah sebagai institusi yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan serta melahirkan masyarakat yang bersatu padu, aman dan sejahtera. 

Pihak PIBG ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada JK Pengelola dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Wednesday 18 September 2013

Jemputan : Taklimat Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah SK Asyakirin

Pihak Sekolah SK Asyakirin ingin menjemput ibu bapa untuk menghadiri satu taklimat mengenai Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah. 

Maklumat program adalah seperti berikut:
Tarikh : 21 September 2013 (Sabtu)
Masa  : 8.00 pagi
Tempat : Dewan Sekolah SK Asyakirin

Perhatian dan kerjasama dari ibu bapa amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sunday 8 September 2013

Selamat Menduduki UPSR 2013





Pihak PIBG ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan UPSR kepada semua murid tahun 6 SK Asyakirin. Pagi ini tadi, 8-9 pagi (8 September 2013), satu program khas iaitu Solat Hajat UPSR 2013 anjuran PPD disusuli oleh sesi ceramah telah diadakan di Masjid Assyakirin Bintulu.  Solat hajat diimamkan oleh Ustaz Aminuddin bin Anas, Tuan Imam Besar Masjid Assyakirin Bintulu.  Beliau turut memberikan ceramah ringkas selepas solat hajat tersebut. Semoga anak murid SK Asyakirin berjaya mencapai impian masing-masing dalam ujain ini nanti. Amin.

Saturday 7 September 2013

Jom Berambeh Raya SK Asyakirin 2013


Tanggal 6 September 2013 (malam terakhir bulan Syawal), telah berlangsungnya program Jom Berambeh Raya 2013 SK Asyakirin.  Walaupun mengalami sedikit masalah berkaitan lokasi program yang berpindah daripada Dewan Utama SK Asyakirin ke Foyer Utama SK Asyakirin, program tetap berjaya berjalan dengan lancar dengan penuh kemeriahan.

Cik Nafisah (tengah), Puan Mudiana (kiri), Pn Hjh Mordiana (kanan)
En Senusi (hijau) menyampaikan hadiah kepada hadirin
Program bermula tepat mengikut masa apabila tetamu kehormat iaitu Cik Nafisah bt. Rosli, Ketua Unit Akademik yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu. Beliau diiringi Puan Dayang Mudiana Awang Mahbi, juga daripada PPD. Turut memeriahkan program tersebut adalah Guru Besar, Yang DiPertua dan ahli jawatankuasa PIBG. 

Adik Shahrul

Adik Sylvia dan Cikgu Awang Dahlan (Pengacara Jemputan)

Hamidah (Penyanyi Jemputan)

Hamka (Penyanyi Jemputan)
Program Jom Berambeh Raya 2013 diserikan dengan pengacara jemputan berbakat, Cikgu Awang Dahlan Awang Lai (SK Agama) dan dua penyanyi jemputan istimewa, Hamka dan Hamidah. Dua penyanyi muda sekolah iaitu adik Shahrul Anuar dan adik Sylvia Haren Usat turut menyerikan malam tersebut.

Permainan bersama anak murid
Permaianan bersama ibu bapa

Hadirin menjamu selera
Program menerima banyak sumbangan berupa jamuan makanan dan kuih-muih, hamper, hadiah elektrikal serta duit raya. Sumbangan ini adalah daripada banyak pihak terutamanya ibu bapa, guru, PIBG dan syarikat-syarikat korporat. Dengan kehadiran ramai ibu bapa, guru dan murid, program Jom Berambeh Raya kali ini berjaya mencapai objektifnya. 


Penghargaan tak terhingga kepada semua pihak yan menjayakan program tahun ini.  Tahniah dan syabas diucapkan kepada Cikgu Afendi Soon selaku Penyelaras Program.

Sehingga berjumpa lagi di tahun hadapan. Insyallah.   

Thursday 5 September 2013

Pemenang Pertandingan Reka Cipta Logo PIBG SK Asyakirin

Pertandingan Reka Cipta Logo PIBG SK Asyakirin telah diadakan pada awal bulan Julai 2013.  PIBG telah menerima sebanyak 4 rekaan logo dari ibu bapa. Logo dipilih oleh guru-guru SK Asyakirin dan keputusan pemenang dimuktamatkan pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PIBG pada 27 Julai 2013.

 
Pada 5 September 2013, YDP telah menyerahkan cek bernilai RM 200.00 beserta sijil penghargaan kepada pemenang Pertandingan Reka Cipta Logo PIBG SK Asyakirin Bintulu iaitu Encik Fakurrudin bin Unop. Tahniah diucapkan.

Semoga lebih ramai lagi ibu bapa termasuk En. Fakurrudin menyertai program yang akan dianjurkan kelak.

Monday 2 September 2013

Projek Baik Pulih Tempat Menunggu SK Asyakirin

Sebelum Projek
Projek yang sedang dijalankan iaitu Baikpulih Tempat Menunggu SK Asyakirin. Projek ini meliputi 1) Baikpulih semua pagar yang rosak 2) Membina pintu masuk baru 3) Baikpulih pagar kawasan pengawal keselamatan. Projek dibiayai sepenuhnya oleh PIBG ini menelan belanja RM3,500 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir September 2013.

Selepas Projek

Sunday 1 September 2013

Selamat Mengunjungi Laman Web PIBG SK Asyakirin

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,



Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kunjungan anda ke laman web ini.  Laman web ini diwujudkan untuk merapatkan jurang komunikasi antara pihak ibu bapa dengan AJK PIBG dan pihak sekolah. Saya berharap laman web ini digunakan oleh semua pihak terutama ibu bapa bagi mendapatkan maklumat berkaitan sekolah, memberi cadangan, membuat aduan, dan bagi pihak sekolah untuk menyampaikan maklumat berkenaan aktiviti yang akan dan sedang dijalankan di sekolah.


Di samping itu, saya akan turut menulis dan berkongsi pengalaman dan buah fikiran saya dalam saya menjalankan tugas saya dalam aktiviti PIBG.  Semoga setiap perkongsian saya dapat menambah ketelusan persatuan dan meningkatkan kesefahaman dengan ibu bapa. Dari masa ke masa saya akan turut menjemput Guru Besar untuk berkongsi buah fikiran, nasihat dan perancangan program bagi pihak sekolah.


Akhir kata, semua kemudahan ini diwujudkan untuk mengeratkan hubungan, kerjasama dan komunikasi antara semua pemegang taruh SK Asyakirin iaitu ibu bapa, PIBG dan pihak sekolah. Kami ingin mewujudkan suasana yang harmoni dan kondusif dan meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti PIBG, justeru itu kami percaya SK Asyakirin dapat meningkat dengan tahap yang lebih tinggi.


Ikhlas

Johan bin Ismail

Printfriendly