Monday 28 October 2013

Bengkel Sarana Siri 01 SK Asyakirin

Peserta Bengkel Sarana Siri 1 SK Asyakirin
Pada hari Sabtu 26 Oktober 2013, berlangsung satu program bersejarah iaitu Bengkel Sarana Siri 1 anjuran PIBG SK Asyakirin. Program ini membawa bersama ibu bapa, guru, AJK PIBG dan pentadbir sekolah untuk duduk semeja bertukar fikiran dan pandangan untuk memajukan lagi SK Asyakirin.  Program bermula dalam pukul 8.40 pagi dengan kata aluan dan penerangan mengenai bengkel oleh En. Johan b. Ismail (YDP) dan disusuli oleh pengenalan diri peserta dan sesi bergambar.  Guru Besar En Senusi tidak dapat menghadirkan diri kerana beliau masih berada di Semanjung Malaysia untuk menerima hadiah PPDa Peringkat Kebangsaan di mana SK Asyakirin yang mewakili Negeri Sarawak telah menerima Hadiah Saguhati.

YDP memberi penerangan mengenai perjalanan bengkel

Ibu Bapa memperkenalkan diri
Seramai 27 peserta terdiri daripada 14 ibu bapa dan 13 guru termasuk pentadbir yang dijemput khas telah menghadiri bengkel tersebut. Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil yang membincangkan tiga teras utama SK Asyakirin iaitu:

1) Akademik dan Permuafakatan
2) Sahsiah dan Kokurilulum
3) Kebajikan dan Kemudahan

Sesi perbincangan mempunyai objektif khusus masing-masing dan segala idea dan pandangan berlandaskan tiga prinsip berikut:

1)  untuk peningkatan prestasi, kebajikan, kemudahan murid
2)  untuk meningkatkan prestasi dan imej sekolah
3)  untuk merapatkan huhungan ibu bapa dengan pihak sekolah   

Kumpulan A (Akademik dan Permuafakatan)
Kumpulan B (Sahsiah dan Kokurikulum)
Kumpulan C (Kebajikan dan Kemudahan)
Peserta berehat seketika untuk jamuan ringan
Sesi perbincangan dalam kumpulan berlangsung selama 90 minit di mana ibu bapa terutamanya memberikan idea dan pandangan serta berinteraksi semasa ahli kumpulan. Setelah perbincangan dalam kumpulan, ketua kumpulan membentangkan hasil dan dapatan kepada semua peserta.

Pembentangan Hasil Perbincangan Kumpulan
Amanat dari Puan Hajah Mordiana dan Penangguhan oleh YDP
Sebelum tamat program, Puan Hajah Mordiana (Penolong Kanan Pentadbiran) yang mewakili Guru Besar, telah menyampaikan amanat sekolah kepada semua peserta. Dalam ucapannya, beliau amat terharu dengan perbincangan efektif dan positif antara ibu bapa dengan pihak sekolah dan kesemuanya berlangsung secara profesional dan beretika. Semua teguran dilontar dan dibincangkan secara baik dan pelbagai langkah penyelesaian yang dicadangkan untuk mengatasi masalah atau kelemahan yang dikenalpasti. 

Peserta menjadi kumpulan perintis KSIB
Semua peserta dari kalangan ibu bapa bersetuju untuk membantu sekolah dan akan menjadi kumpulan perintis Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SK Asyakirin (KSIB) iaitu satu inisiatif di bawah program Sarana. 

Secara keseluruhan, sebagai program bersejarah, program ini telah berjaya mendekatkan ibu bapa dengan pihak sekolah dalam satu suasana yang amat positif dan efektif.  PIBG akan terus menjalankan program ini pada masa hadapan dengan jemputan yang lebih besar. PIBG mengalu-alukan kehadiran ibu bapa yang lebih besar dengan menerima jemputan kami di masa hadapan. YDP menangguhkan bengkel ini pada pukul 1 tengahari.

PIBG akan menerbitkan hasil dapatan Bengel Sarana Siri 1 apabila siap sepenuhnya penulisan laporan berkenaan. 

Catatan YDP

Saturday 26 October 2013

Pemberitahuan (Terkini): Cuti Peristiwa Sempena Deepavali dan Cuti Umum Sempena Awal Muharram

Ibu Bapa/ Penjaga 
SK Asyakirin

Tarikh Cuti Peristiwa : 1 November 2013 (Jumaat)

Tarikh Hari Sekolah Tidak Bercuti : 4 November 2013 (Isnin)

Tarikh Cuti Umum: 5 November 2013 (Selasa)

Harap maklum.

Friday 25 October 2013

Latihan Pengurusan Laman Web di SK Asyakirin

Pada 23 Oktober 2013 (Rabu), satu latihan mengenai pengurusan laman web telah diadakan di bilik komputer SK Asyakirin.  Latihan tersebut dikendalikan oleh En. Johan bin Ismail, Pensyarah UPMKB, dan dihadiri oleh Cikgu Afendi, Cikgu Sharifah Salmah, Cikgu Norhafizah, Cikgu Siti Marliyana, Cikgu Mohd Safwan dan Cikgu Khaidzir.  Latihan ini memberi pendedahan mengenai pengendalian laman blog rasmi PIBG yang menggunakan pelbagai platform umum dan percuma seperti google, blogspot, gmail, flickr, feedburner, dropbox dan 123contactform.  Latihan turut berbincang mengenai kaedah pengendalian interaksi dan soal jawab antara ibu bapa dengan pihak sekolah.


Thursday 24 October 2013

Majlis Makan Malam Penghargaan Staf SK Asyakirin 2013

YDP dan NYDP bersama pentadbir sekolah
Pada 19 Oktober 2013 Sabtu, SK Asyakirin telah mengadakan Jamuan Makan Malam Penghargaan Staf SK Asyakirin di Kelab Kidurong, Bintulu.  YDP dan NYDP telah dijemput untuk menghadiri program tersebut. Program yang meriah dan berseri tahun ini bertemakan warna biru dan perak. Pelbagai acara disusun untuk malam tersebut, termasuk nyanyaian karaoke, permainan, pemberian anugerah dan cabutan bertuah.

En. Senusi memberi ucapan aluan
Program malam tersebut dikendalikan oleh Cikgu Abdul Rahman sebagai juruacara majlis. Program dimulakan oleh ucapan daripada guru besar iaitu En. Senusi bin Haji Shahrani. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada guru-guru sekolah yang telah berbakti sepanjang tahun dan memohon agar mereka meningkatkan lagi usaha di tahun hadapan. Beliau turut menyampaikan salam terima kasih kepada guru-guru yang akan berpindah dari SK Asyakirin.

Sambutan Hari Lahir Guru
Guru dan keluarga menjamu selera
Pelbagai anugerah telah disampaikan pada malam tersebut di mana semua anugerah diundi oleh murid sekolah kecuali anugerah pakaian malam tersebut dinilai oleh Kelab Kidurong. Pemenang anugerah adalah seperti berikut:

Guru Paling Rajin
Cikgu Mohd Safwan dan Cikgu Dayang Noorlida

Guru Paling Penyayang
Ustazah Hanann dan Cikgu Sharifah Salmah

Guru Tampan Bergaya
Cikgu Mohd Hanif dan Cikgu Amirulizan

Guru Cantik Bergaya
Cikgu Farizah dan Cikgu Monica

Guru Penyabar
Cikgu Masitah

Guru Baik Hati
Cikgu Siti Marliyana
 
Anugerah Khas AKS
En. Sofee 

Anugerah Lovelyman
Cikgu Wee Ah Him

Anugerah Charming Lady
Cikgu Junainah

Puan Zainab dan Cikgu Sylvester
Di samping itu, malam tersebut diserikan dengan nyanyian karaoke daripada Cikgu Sylvester,  Cikgu Zulkarami dan Puan Zainab.  Syabas dan tahniah diucapkan kepada penganjur program iaitu Kelab Kebajikan Staf SK Asyakirin. Terima kasih kepada semua penaja iaitu rakan guru sekolah, Sri Ganai Enterprise, Aliya Cafe/Kantin Sekolah, TMS Bookstore, Yam Catering/Kelab Kidurong Bintulu, dan Readers.

Taklimat Kemasukan Ke Sekolah Menengah

Pada 23 Oktober 2013, satu taklimat mengenai kemasukan ke sekolah menengah telah diberikan kepada murid tahun 6 bertempat di Dewan Utama SK Asyakirin. Taklimat telah diberikan oleh Cikgu Wong Kiu Sing iaitu Penolong Kanan Petang, SMK Bintulu.

Tuesday 22 October 2013

SK Asyakirin mewakili Negeri Sarawak dalam Pertandingan PPDa (Pendidikan Pencegahan Dadah) Peringkat Kebangsaan




Umum telah mengetahui SK Asyakirin telah terpilih mewakili negeri Sarawak ke peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Pendidikan Pencegahan Dadah bagi kategori Bilik Sumber PPDa. Sesungguhnya ini adalah bukti usaha gigih semua guru SK Asyakirin dalam membawa SK Asyakirin ke arah yang lebih tinggi. Semua guru berkorban masa dan tenaga bagi memberikan hasil yang terbaik untuk pertandingan ini. Kami memulakan kerja-kerja keceriaan bermula dari bulan Mac dan berterusan hingga Oktober. 

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah hadir ke SK Asyakirin pada 9 Oktober 2013 yang lalu. Keputusan untuk pertandingan ini akan diketahui tidak lama lagi. Mari kita sama-sama mendoakan kejayaan SK Asyakirin dalam pertandingan ini.

Lawatan ke Pejabat Parol Bintulu
Lawatan Ke Agensi Dadah Kebangsaan Cawangan Bintulu
Lawatan ke Klinik Kesihatan Bintulu
        Cikgu Kamal menyiapkan Stesen Dadah di Bilik Sumber  PPDa        
                           
Ustazah Nurlina menyiapkan Stesen Permainan di Bilik Sumber PPDa







Kempen Taknak Rokok dan Dadah Untuk Komuniti ( Tamu dan Park City )






Pertandingan Boria Antidadah









Pelbagai Aktiviti Murid di Bilik Sumber PPDa




Lawatan Dari Pelbagai Pihak 

Monday 21 October 2013

Thursday 17 October 2013

Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah ke-7 (2013) SK Asyakirin

 

SK Asyakirin telah mengadakan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah ke-7 dari 2-4 Oktober 2013.  Majlis perasmian telah diadakan pada 3 Oktober 2013 dan disempurnakan oleh Yang diPertua PIBG, En. Johan bin Ismail. Pada majlis tersebut, anak murid turut bertanding dalam perbarisan rumah sukan dan lintas hormat pasukan beruniform. Juara perbarisan bagi kategori pasukan beruniform ialah Unit Tunas Puteri manakala Rumah Wira menjuarai kategori rumah sukan. Pengadil jemputan untuk menilai perbarisan adalah Cikgu Mohd Hilmi b Kassim (Kolej Vokasional) dan Cikgu Abd. Azim b Hussein (SK Labang, Sebauh).

Pelbagai acara sukan diadakan sepanjang tiga hari tersebut. Satu acara terbuka turut diadakan yang melibatkan penyertaan daripada para guru, ibu bapa, Insitut Kemahiran Mara, bekas pelajara Sk Asyakirin dan Komuniti 1 Malaysia Sebezau. 


Majlis Penutupan Sukan Tahunan Sekolah telah disempurnakan oleh En. Yusuf bin Haji Harbi, mewakili PPD Bintulu. Pada akhir kejohanan sukan tersebut, Pasukan Rumah Waja telah dipilih sebagai juara keseluruhan dan menerima Piala Pusingan. Olahragawan yang dipilih adalah Mohd Aiman Basri dan olahragawati terpilih adalah Sdri Masyitah bt. Kamal. PIBG mengucapkan tahniah kepada semua pemenang.

Tahniah diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur yang bertungkus lumus mengendali dan menjayakan acara sukan tahunan kali ini. Penghargaan turut diberikan kepada sumbangan yang diterima dari pelbagai pihak iaitu PIBG, 100 plus, Biport Bulkers Sdn. Bhd., Mercu Nilan Sdn. Bhd. dan Sim Swee Joo Sdn. Bhd.

Saturday 12 October 2013

Pertandingan Pertolongan Cemas PBSM

dari kiri: Nurul Aimi, Cikgu Rafeah, Arrina, Cikgu Safwan, Insyirah, Georgia, Lychea, Grace, Howell, Howerd
Lapan murid mewakili SK Asyakirin telah menyertai Pertandingan Pertolongan Cemas anjuran PBSM Bintulu pada 12 Oktober 2013. Mereka adalah :

Darjah 4 : Insyirah, Howerd
Darjah 5 : Arrina, Nurul Aimi, Howell
Darjah 6 : Lychea, Georgia, Grace

Mereka diringi oleh Cikgu Rafeah dan Cikgu Safwan. Pertandingan dijalankan secara berkumpulan. Murid darjah 6 telah berjaya menduduki tempat Kedua. Tahniah kepada mereka semua.

Friday 11 October 2013

Pemberitahuan : Cuti dan Sekolah Ganti sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 2013

Ibu Bapa / Penjaga
SK Asyakirin
 
Tarikh Cuti                   : 14 Oktober 2013 (Isnin)
Tarikh Ganti Sekolah  : 19 Oktober 2013 (Sabtu)

Harap maklum

Wednesday 9 October 2013

Isu Semasa : Tandas SK Asyakirin


Isu tandas atau secara lebih spesifik isu kebersihan tandas di SK Asyakirin merupakan satu isu lama dan sentiasa berbangkit walaupun sebelum saya dilantik ke PIBG lagi.  Kita semua sebagai ibu bapa senantiasa memikirkan kepentingan anak-anak kita di sekolah terutama lagi jika ia melibatkan kesihatan anak kita. Sampai beberapa ketika para ibu bapa begitu emosional sehingga meluahkan kata-kata kurang senang terhadap pihak sekolah.

Ingin saya jelaskan bahawa isu tandas ini bukan sesuatu isu yang mudah dan permasalahan berkaitan tandas memerlukan pemahaman terhadap beberapa perkara pokok.  

1) SK Asyakirin mengalami kerosakan sistem pam sedutan kumbahan sekian lama dan tidak dapat dibaiki kerana ketiadaan peruntukan dari sekolah atau PPD. Kerosakan pam ini secara langsung menyebabkan banyak sistem saluran paip menjadi tersumbat kerana kumbahan tidak dapat disedut dari tandas untuk rawatan.

2) Seperti dimaklumkan semasa taklimat sarana, semua sekolah kebangsaan termasuk SK Asyakirin adalah tertakluk di bawah PPD. Di mana semua peruntukan kewangan adalah berdasarkan bajet yang terhad dan SK Asyakirin seperti sekolah lain bersaing untuk mendapatkan dana untuk kemudahan sekolah.

3) Pengurusan kebersihan tandas di sekolah adalah diswastakan kepada kontraktor luar oleh JPN/PPD di mana di SK Asyakirin kini terdapat 4 orang cleaner yang bertugas membersih tandas dari hari Isnin sehingga Sabtu.  Pihak sekolah bersama PIBG telah mendapati bahawa kualiti kerja yang diberikan adalah kurang memuaskan dan perkara ini telah memburukkan lagi keadaan tandas di sekolah.

4) Aduan ibu bapa turut mengutarakan mengenai kehilangan/kerosakan perkakasan dalam tandas dan turut menyebabkan kebocoran air.  Kebanyakan keroskan ini disebabkan pengguna tandas iaitu anak murid sekolah. Menurut pihak sekolah, mereka kekurangan tenaga kerja dan peruntukan untuk menyelesaikan semua proses pembaikan dalam tempoh masa yang singkat.

Jelas daripada perkara pokok di atas, isu tandas tidak melibatkan satu atau dua pihak sahaja dan ia perlu dilihat secara keseluruhan. Namuan apapun keadaan, sememangnya pihak sekolah perlu memikul tanggungjawab paling besar dalam usaha mencari penyelesaian permasalahan ini.

PIBG mengutarakan isu tandas dalam mesyuarat kali 1 dan senantiasa berada dalam perhatian kami.  Untuk makluman, beberapa langkah telah diambil oleh PIBG terhadap isu ini.  Antaranya:

1)  PIBG telah membuat aduan rasmi kepada PPD melalui satu agensi kerajaan mengenai isu tandas awal April-Mei 2013. Setelah aduan ini mendapat perhatian, PIBG telah dimaklumkan oleh PPD bahawa satu peruntukan besar sejumlah lebih RM 20 ribu telah diluluskan untuk membaiki sistem pam sedutan kumbahan. Sistem ini telah dibaiki dan diselenggara antara bulan Julai-September 2013.

2) September 2013, pihak sekolah bersama PIBG telah mengadakan pertemuan dengan pihak kontraktor yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan kebersihan tandas dan mengadu mengenai prestasi yang kurang memuaskan supaya tindakan dapat diambil untuk meningkatkan prestasi mereka. Usaha ini nampaknya belum menampakkan hasil di mana PIBG akan menulis aduan rasmi kepada JPN/PPD melalui sekolah mengenai perkara berikut.

3)  PIBG telah berjaya mendapat sumbangan sebanyak RM2300 untuk melakukan sedikit kerja baik pulih tandas awal Oktober 2013. PIBG telah berbelanja sebanyak RM1370 untuk membaiki tandas dan saliran air kumbahan yang tersumbat. PIBG akan turut berbelanja untuk membaiki / menukar perkakas tandas yang rosak/hilang (sedang dalam proses).

4) Menjelang 2014, PIBG akan mengumpul dana melalui kutipan awam (Program Ceriaton) yang bakal dijalankan pada Februari-April 2014. Antara projek utama adalah untuk baik pulih tandas secara keseluruhan. PIBG kini dalam proses permohonan permit untuk aktiviti kutipan awam. PIBG memohon kerjasama penuh dari ibu bapa untuk mengumpul dana sebanyak mungkin. 

Namun, PIBG melihat isu tandas ini secara lebih besar lagi dimana kita bukan sahaja ingin membaiki tandas sahaja kerana ia hanya penyelesaian jangka pendek. PIBG akan merangka program/kempen tandas bersih bersama pihak sekolah.  Kita perlu mendidik anak-anak kita supaya menjaga kebersihan diri dan menggunakan tandas dengan bertanggungjawab. Pihak sekolah perlu mengambil peranan besar dalam menjayakan program/kempen dan PIBG yakin mendapat kerjasama penuh pihak sekolah kerana kejayaan program/kempen tandas bersih akan turut menaikkan imej dan nama SK Asyakirin serta memberi kepuasan kepada ibu bapa dan keselesaan kepada anak murid.

PIBG turut merangka beberapa bengkel sarana ibu bapa dan sekolah sebagai satu forum bagi ibu bapa dan guru sama-sama bertukar fikiran, idea serta membincang berkaitan isu-isu penting di sekolah. Bengkel sarana yang pertama dijangka akan dijalankan sebelum cuti sekolah akhir tahun bermula.
  
Akhir kata, marilah sama-sama membantu dan memberi kerjasama untuk menangani isu tandas ini supaya anak-anak kita akan belajar dengan amat selesa di sekolah ini.

YDP  

Wednesday 2 October 2013

Program Gerak Tari 1 Malaysia Prasekolah SK Asyakirin


Program ini telah diadakan pada 1 Oktober 2013 iaitu pada hari Selasa. Ia dijalankan serentak di semua prasekolah seluruh negara bermula pada jam 8.10 pagi.  Program Gerak Tari ini telah dicatatkan di dalam Malaysian Book Of Record. Sekolah Kebangsaan Asyakirin telah dipilih sebagai venue untuk pelancaran Program Gerak Tari  1 Malaysia Prasekolah bagi peringkat daerah Bintulu. Bersempena dengan program ini, SK Asyakirin turut menerima kunjungan semua guru dan murid prasekolah dari Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Bintulu untuk turut sama menjalankan program Gerak Tari ini.

Tahniah kepada semua murid prasekolah yang telah berlatih berminggu-minggu bagi melancarkan program ini dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada majlis pelancaran ini  bukan sahaja murid prasekolah yang melakukan tarian malahan guru-guru juga turut bersama-sama menari. Ia adalah satu program yang menyeronokkan dan membantu perkembangan fizikal kanak-kanak. Sekali lagi tahniah dan terima kasih.

Printfriendly