Isu tandas atau secara lebih spesifik isu kebersihan tandas di SK Asyakirin merupakan satu isu lama dan sentiasa berbangkit walaupun sebelum saya dilantik ke PIBG lagi. Kita semua sebagai ibu bapa senantiasa memikirkan kepentingan anak-anak kita di sekolah terutama lagi jika ia melibatkan kesihatan anak kita. Sampai beberapa ketika para ibu bapa begitu emosional sehingga meluahkan kata-kata kurang senang terhadap pihak sekolah.
Ingin saya jelaskan bahawa isu tandas ini bukan sesuatu isu yang mudah dan permasalahan berkaitan tandas memerlukan pemahaman terhadap beberapa perkara pokok.
1) SK Asyakirin mengalami kerosakan sistem pam sedutan kumbahan sekian lama dan tidak dapat dibaiki kerana ketiadaan peruntukan dari sekolah atau PPD. Kerosakan pam ini secara langsung menyebabkan banyak sistem saluran paip menjadi tersumbat kerana kumbahan tidak dapat disedut dari tandas untuk rawatan.
2) Seperti
dimaklumkan semasa taklimat sarana, semua sekolah kebangsaan termasuk SK
Asyakirin adalah tertakluk di bawah PPD. Di mana semua peruntukan
kewangan adalah berdasarkan bajet yang terhad dan SK Asyakirin seperti sekolah lain bersaing untuk mendapatkan dana untuk kemudahan sekolah.
3) Pengurusan kebersihan tandas di sekolah adalah diswastakan kepada kontraktor luar oleh JPN/PPD di mana di SK Asyakirin kini terdapat 4 orang cleaner yang bertugas membersih tandas dari hari Isnin sehingga Sabtu. Pihak sekolah bersama PIBG telah mendapati bahawa kualiti kerja yang diberikan adalah kurang memuaskan dan perkara ini telah memburukkan lagi keadaan tandas di sekolah.
4) Aduan ibu bapa turut mengutarakan mengenai kehilangan/kerosakan perkakasan dalam tandas dan turut menyebabkan kebocoran air. Kebanyakan keroskan ini disebabkan pengguna tandas iaitu anak murid sekolah. Menurut pihak sekolah, mereka kekurangan tenaga kerja dan peruntukan untuk menyelesaikan semua proses pembaikan dalam tempoh masa yang singkat.
Jelas daripada perkara pokok di atas, isu tandas tidak melibatkan satu atau dua pihak sahaja dan ia perlu dilihat secara keseluruhan. Namuan apapun keadaan, sememangnya pihak sekolah perlu memikul tanggungjawab paling besar dalam usaha mencari penyelesaian permasalahan ini.
PIBG mengutarakan isu tandas dalam mesyuarat kali 1 dan senantiasa berada dalam perhatian kami. Untuk makluman, beberapa langkah telah diambil oleh PIBG terhadap isu ini. Antaranya:
1) PIBG telah membuat aduan rasmi kepada PPD melalui satu agensi kerajaan mengenai isu tandas awal April-Mei 2013. Setelah aduan ini mendapat perhatian, PIBG telah dimaklumkan oleh PPD bahawa satu peruntukan besar sejumlah lebih RM 20 ribu telah diluluskan untuk membaiki sistem pam sedutan kumbahan. Sistem ini telah dibaiki dan diselenggara antara bulan Julai-September 2013.
2) September 2013, pihak sekolah bersama PIBG telah mengadakan pertemuan dengan pihak kontraktor yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan kebersihan tandas dan mengadu mengenai prestasi yang kurang memuaskan supaya tindakan dapat diambil untuk meningkatkan prestasi mereka. Usaha ini nampaknya belum menampakkan hasil di mana PIBG akan menulis aduan rasmi kepada JPN/PPD melalui sekolah mengenai perkara berikut.
3) PIBG telah berjaya mendapat sumbangan sebanyak RM2300 untuk melakukan sedikit kerja baik pulih tandas awal Oktober 2013. PIBG telah berbelanja sebanyak RM1370 untuk membaiki tandas dan saliran air kumbahan yang tersumbat. PIBG akan turut berbelanja untuk membaiki / menukar perkakas tandas yang rosak/hilang (sedang dalam proses).
4) Menjelang 2014, PIBG akan mengumpul dana melalui kutipan awam (Program Ceriaton) yang bakal dijalankan pada Februari-April 2014. Antara projek utama adalah untuk baik pulih tandas secara keseluruhan. PIBG kini dalam proses permohonan permit untuk aktiviti kutipan awam. PIBG memohon kerjasama penuh dari ibu bapa untuk mengumpul dana sebanyak mungkin.
Namun, PIBG melihat isu tandas ini secara lebih besar lagi dimana kita bukan sahaja ingin membaiki tandas sahaja kerana ia hanya penyelesaian jangka pendek. PIBG akan merangka program/kempen tandas bersih bersama pihak sekolah. Kita perlu mendidik anak-anak kita supaya menjaga kebersihan diri dan menggunakan tandas dengan bertanggungjawab. Pihak sekolah perlu mengambil peranan besar dalam menjayakan program/kempen dan PIBG yakin mendapat kerjasama penuh pihak sekolah kerana kejayaan program/kempen tandas bersih akan turut menaikkan imej dan nama SK Asyakirin serta memberi kepuasan kepada ibu bapa dan keselesaan kepada anak murid.
PIBG turut merangka beberapa bengkel sarana ibu bapa dan sekolah sebagai satu forum bagi ibu bapa dan guru sama-sama bertukar fikiran, idea serta membincang berkaitan isu-isu penting di sekolah. Bengkel sarana yang pertama dijangka akan dijalankan sebelum cuti sekolah akhir tahun bermula.
Akhir kata, marilah sama-sama membantu dan memberi kerjasama untuk menangani isu tandas ini supaya anak-anak kita akan belajar dengan amat selesa di sekolah ini.
YDP