Sunday 17 November 2013

Keputusan UPSR SK Asyakirin 2013


Murid cemerlang UPSR bersama ibu bapa
 Detik yang dinanti-nanti akhirnya tiba pada 14 November 2013, yang juga merupakan hari Majlis Anugerah Cemerlang ke-9 SK Asyakirin 2013.  Majlis Anugerah Cemerlang telah bermula tepat pada jam 8 pagi dengan ketibaan tetamu kehormat iaitu Yang Dipertua PIBG  diiringi oleh Guru Besar dan Penolong Kanan SK Asyakirin. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar yang diikuti oleh ucapan perasmian daripada YDP PIBG.  Dalam ucapan perasmian, YDP telah mengumumkan satu anugerah khas tokoh ibu bapa tokoh yang pertama kali diperkenalkan pada tahun ini. 


Tokoh ibu bapa contoh bagi tahun 2013 ialah En. Shahran bin Napi. Pemilihan beliau berdasarkan sumbangan bakti tak ternilai yang telah diberikan kepada pihak sekolah. Selama berminggu-minggu, beliau telah datang ke sekolah bersama-sama anak-anaknya untuk menyelenggara satu demi satu tandas sehingga semua tandas selesai diselenggara. Pemilihan beliau diharap dapat memberi inspirasi kepada ibu bapa supaya bersama-sama PIBG membantu sekolah dalam apa cara sekali pun kerana semua bantuan pastinya akan menguntungkan anak mereka masing-masing di sekolah.

Majlis kemudian diteruskan dengan pelancaran laman blog rasmi PIBG SK Asyakirin yang disempurnakan oleh Guru Besar. Selepas pelancaran tersebut, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pelbagai anugerah akademik murid SK Asyakirin. Setelah tamat penyampaian hadiah, Guru Besar telah naik ke pentas untuk mengumumkan keputusan UPSR 2013.

Pada tahun ini, seramai 7 murid telah mendapat keputusan cemerlang iaitu 5A manakala 7 murid turut mendapat keputusan 4A (dan 1B). Secara keseluruhan, pencapaian UPSR tahun telah menurun berbanding dengan tahun 2012.  Bilangan murid yang mendapat 5A pada tahun 2012 adalah seramai 10 murid manakala tahun ini adalah 7 murid sahaja. Manakala peratus murid yang lulus penuh pada tahun 2012 adalah 71.57% manakala pada tahun ini adalah 66.13.  Senarai pelajar yang mendapat 5A adalah seperti berikut:

1) Abang Shahjahan bin Abang Mahmud
2) Aina Maisarah binti Mohammad Mahathir Shahiddin  
3) Anis Mastura binti Zaaba
4) Mohamad Jazli Aiman bin Johan
5) Vanessa Elle Lyenouq ak Saying
6) Vanessa Eyiah ak Nyimbong
7) Vivian Michelle ak Jelma

PIBG ingin mengucapkan tahniah kepada murid cemerlang UPSR 2013 dan juga kepada semua murid yang telah menerima anugerah kecemerlangan akademik tahun 2013.  PIBG turut merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru tahun 6 dan sekolah secara keseluruhan kerana telah memberi khidmat untuk kejayaan murid.

PIBG berharap pihak sekolah akan meningkatkan lagi usaha untuk mencapai kecemerlangan akademik yang lebih baik pada tahun 2014. PIBG berharap ibu bapa memberi sokongan penuh kepada usaha-usaha pihak sekolah dalam meningkatkan kemajuan anak murid.  Sekalung tahniah turut ditujukan kepada AJK pengelola yang menjalankan majlis dengan begitu baik dan teratur.   

Catatan YDP

Printfriendly